ZCOVA x BHarian: Koleksi loket emas serlah karakter wanita

ZCOVA x BHarian: Koleksi loket emas serlah karakter wanita

Date: 14th March 2023

Thank you Berita Harian for sharing! ZCOVA’s collection of 9 Gold Pendants highlights women’s character.

Read the full article here: https://www.bharian.com.my/wanita/fesyen/2023/03/1076848/koleksi-9-simbol-rekaan-loket-emas-serlah-karakter-wanita 

 

Wanita dan perhiasan lebih-lebih lagi berbentuk emas tulen umpama ‘sahabat baik’ yang sukar dipisahkan.

Ia sentiasa menjadi ‘buruan’ kerana selain digunakan sebagai perhiasan bagi menyerlahkan keyakinan diri, nilainya juga yang tidak pernah susut.

Justeru, kebanyakan wanita dilihat lebih terarah untuk berbelanja membeli perhiasan emas berbanding perhiasan lain seperti batu permata, berlian dan sebagainya yang turut memiliki nilai tinggi.

Melihat kepada trend dan permintaan itu, ‘selera’ permintaan pasaran harus dipenuhi oleh kebanyakan kedai emas, namun bagi menambah kelainan, rekaan ditampilkan pula seiring dengan perubahan zaman.

Menyedari emas dan wanita memang sukar dipisahkan, jenama barang perhiasan, Zcova yang diusahakan dua beradik iaitu Low Zi Wei, 38, dan Low Zi Yin, 33, menampilkan kelainan dalam pasaran dengan menyediakan perkhidmatan emas yang boleh dibuat khas mengikut permintaan pelanggan.

Zi Wei yang juga pengarah syarikat itu, berkata sejak jenama ini berada di pasaran pada 2015, ia berjaya memberi senyuman, meninggalkan kenangan indah dan kegembiraan kepada pelanggannya kerana memenuhi kehendak hati mereka.

Katanya, perhiasan ini dilihat mampu memperkasakan wanita kerana dengan memilikinya, wanita ini dilihat bertenaga, memiliki karakter yang luar biasa sekali gus menyerlahkan dan menyebarkan aura positif dalam dirinya.

“Kebiasaannya setiap orang menyifatkan wanita ini sering bermain dengan emosi tersendiri, tetapi sebaliknya apabila berada dalam bidang ini, wanita ini sangat mudah untuk didekati.

“Mereka begitu mudah untuk memberikan kerjasama, mempunyai pandangan yang berbeza dan akhirnya setiap keputusan membuahkan hasil memberangsangkan. Disebabkan itu saya ingin terbabit dalam usaha memperkasakan wanita ini melalui barangan perhiasan.

“Tidak kira lelaki atau perempuan, kesedaran menyebar dan memperkasakan wanita ini adalah tanggungjawab setiap orang kerana diakhiri kita semua berada dalam kelompok wanita ini iaitu ibu, kakak dan anak perempuan.

“Apabila kita sama-sama melakukannya, kita akan dapat menyaksikan perbezaan positif begitu ketara,” katanya memiliki 100 peratus pekerja wanita di dalam syarikatnya.

Aura koleksi 9 simbol rekaan

Zi Yin berkata, seiring dengan matlamatnya itu, mereka ingin meraikan wanita dengan memberi kelainan menerusi perkhidmatan diberikan.

Katanya, wanita tidak perlu menunggu seseorang untuk membelikan perhiasan kepada mereka, sebaliknya mereka boleh membeli mengikut kehendak cita rasa mereka sendiri.

“Rantai leher lazimnya lebih cantik dipadankan dengan loket seperti berbentuk empat segi yang unik. Jadi, bagi bentuk itu, sembilan simbol dengan maksud tersendiri boleh mengalirkan aura positif mengikut pilihan pelanggan sendiri.

“Sembilan simbol menampilkan sembilan aura positif iaitu melahirkan keberanian, menyembuhkan, kepercayaan, menyintai diri sendiri, harapan, bersyukur, merebut peluang, melepaskan dan positif dengan bentuk 14 karat dan 18 karat,” katanya.

Malah, pelanggan boleh memilih dengan pakar perunding bersedia memberi panduan untuk rekaan dikehendaki.

“Kami ingin membawa jenama menggambarkan Malaysia ini hingga ke peringkat antarabangsa suatu hari nanti,” katanya.

Pada masa sama, beliau ingin mendidik wanita untuk membeli perhiasan seperti batu permata dan berlian untuk dijadikan koleksi kerana juga memiliki nilai yang tinggi, selain daripada emas.

“Semua batu permata dan berlian kami dapatkan daripada pembekal utama tanpa melalui orang tengah. Diharap ia akan menjadi satu budaya selain daripada hanya terarah membeli perhiasan berbentuk emas tulen saja,” katanya.