ZCOVA On Utusan Malaysia: Kilauan Oriental, Keindahan Floral
ZCOVA X KHOON HOOI珠宝系列,由设计师Khoon Hooi设计,马来西亚首个线上网购珠宝品牌ZCOVA 精心制作,携手完成带有东方风韵的独家珠宝系列。
大马设计师
Khoon Hooi
Rekaan koleksi ini tidak hanya cantik dipakai, malah memberi maksud yang mendalam dalam meraikan keindahan kehidupan.
Khoon Hooi, jenama yang tidak perlu diperkenal lagi selepas lebih 19 tahun bertapak dalam bidang fesyen di dalam dan luar negara. Terbaharu, dia tampil dengan kolaborasi bersama jenama barangan kemas dalam talian pertama di Malaysia, ZCOVA.
Menampilkan sebuah koleksi barangan kemas eksklusif yang meraikan keindahan budaya, cinta dan seni halus oriental atau Timur, sentuhan eksklusif pereka itu nyata tidak menghampakan apabila bijak menterjemahkan rekaan di atas kain kepada rekaan di atas barangan kemas.
Dikenali dengan hasil rekaan fesyen yang halus serta penuh teliti, Khoon Hooi dilihat individu yang tepat buat ZCOVA dalam menghasilkan koleksi terbaharu barang kemas yang malar segar untuk wanita.
Menurut Khoon Hooi, gandingan sulung itu merupakan satu perkembangan sihat bagi dua jenama itu yang mahu menyediakan platform buat wanita tampil cantik dan bergaya.
Memfokuskan rekaan yang sinonim dengan budaya tradisional oriental, inspirasi Khoon Hooi adalah elemen ketimuran alam semula jadi yang menbawa pelbagai maksud dalam setiap aspek kehidupan seseorang.
“Setiap elemen dalam koleksi ini mewakili sesuatu perkara positif atau membawa kepada kewujudan cinta. Ini menjadikan ia padanan sesuai bukan sekadar untuk sambutan perayaan tahun baharu, malah majlis yang mengalu-alukan kegembiraan, cinta dan keseronokan dalam kehidupan.
“Rekaan koleksi ini tidak hanya cantik dipakai, malah memberi maksud yang mendalam dalam meraikan kehidupan,” katanya pada majlis pelancaran koleksi KHOON HOOI x ZCOVA di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Didatangkan dengan 12 jenis rekaan iaitu anting-anting, cincin, loket dan gelang tangan, antara koleksi yang unik adalah gelang tangan mengambil ilham daripada pohon buluh (zhu) yang membawa maksud kejujuran dan usia panjang.
Rekaan ditampilkan penuh berseni yang boleh dipadankan dengan subang emas yang ringkas namun elegan.
Satu lagi simbol tuah yang melambangkan rasa rendah diri ialah tenaga ceria daripada bunga kekwa (ju hua) yang mewakili sang suria, yang mana setiap kelopaknya dirungkai penuh terperinci sebagai objek tumpuan dalam bentuk cincin dempak yang dipadankan dengan sepasang anting-anting.
Koleksi barangan kemas ini turut memperlihatkan keutuhan cinta dan kasih sayang menerusi penggunaan lambang flora seperti bunga plum (mei hua), yang membawa maksud ketabahan dalam menghadapi kesukaran, disulami masa depan yang penuh harapan.
Selain bunga kekwa, rekaan bunga plum juga amat elegan sesuai dizahirkan dalam bentuk anting-anting, cincin dan rekaan gelang.
Simbol flora ketimuran paling signifikan pula, ialah bunga peony (mu dan) selaku raja segala bunga, apabila impak sensual bunga itu melambangkan asmara dan ciri penuh kemakmuran.
“Kelopak bunga peony ini dihidupkan dalam bentuk hiasan cincin dan anting-anting. Ia turut dilihat sebagai lambang tuah dan perkahwinan bahagia yang menjadikannya hadiah yang sesuai untuk pasangan.
“Sebagai tanda penyatuan abadi, koleksi ini menonjolkan motif simpulan Cina (jie) dan kipas (shan) dalam nada moden.
“Simbol cinta yang berabad-abad lama ini boleh didapati dalam bentuk gelang, anting-anting atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.
Sementara itu, ZCOVA yang diterajui dua beradik sebagai Pengasas Bersama dan Pengarah Kreatif, Low Ziyin dan Low Ziwei, mengambil inisiatif memodenkan cara pembelian barangan kemas di negara ini, melalui gandingan pertama kali bersama pereka fesyen ternama itu.
Menurut Low Ziyin, Khoon Hooi menepati tafsiran moden pada barangan kemas yang bertahan seiring masa dengan inspirasi, yang menggabungkan lambang tradisional ketimuran bersama jiwa kontemporari.
“Elemen ini adalah penghormatan kami kepada simbol oriental yang diturunkan dari generasi ke generasi. Gabungan ini memperlihat aspek moden, namun bercirikan klasik dalam rekaan barangan kemas.
“Koleksi kali ini memberikan simbol tuah untuk si pemakai selain manifesto fizikan cinta pada yang teristimewa,” katanya.