ZCOVA On KOSMO!: Inspirasi Alam Semula Jadi
ZCOVA kolaborasi dengan pereka fesyen dan pengasas label terkenal tempatan, Khoon Hooi.
Pemakaian aksesori seperti kerongsang, gelang, anting-anting dan rantai leher bukan sekadar menambah seri penampilan diri malah dapat membantu meningkatkan semangat dan keyakinan diri seseorang.
Menyedari hakikat itu, jenama barangan kemas secara online pertama in Malaysia, ZCOVA kolaborasi dengan pereka fesyen dan pengasas label terkenal tempatan, Khoon Hooi dalam menampilkan koleksi barang kemas eksklusif dan malar segar khas buat wanita.
Himpunan baharu itu bertujuan meraikan keindahan budaya, cinta dan seni halus oriental.
Bagi Khoon Hooi, inspirasi rekaan koleksi tersebut mengetengahkan elemen ketimuran dan simbol alam semula jadi yang membawa pelbagai maksud dalam kehidupan seorang manusia.
“Setiap elemen dalam koleksi ini mewakili sesuatu perkara positif atau membawa kepada kewujudan kita, lalu menjadikan himpunan ini padanan sesuai bukan sekadar untuk tahun baru malah majlis yang mengalu-alukan kegembiraan, cinta dan keseronokan dalam kehidupan,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antaranya termasuklah rekaan yang diilhamkan daripada buluh. Ia lambang daya tahan, kejujuran dan usia yang panjang. Rekaan buluh ditampilkan penuh berseni dalam koleksi ini, bersama subang emas dan gelang nipis emas yang ringkas namun tampak elegan.
Satu lagi simbol tuah yang melambangkan rasa rendah diri ialah tenaga ceria daripada bunga kekwa. Mewakili sang suria, setiap kelopaknya dirungkai penuh terperinci sebagai objek tumpuan, dalam bentuk cincin dan sepasang anting-anting.
Koleksi barangan kemas ini turut memperlihatkan keutuhan cinta dan kasih sayang menerusi penggunaan lambang flora seperti bunga plum yang membawa maksud ketabahan dalam menghadapi kesukaran.
“Khoon Hooi menepati tafsiran moden barangan kemas ZCOVA yang mampu bertahan seiring masa dengan inspirasi yang menggabungkan lambang tradisional ketimuran bersama jiwa kontemporari,” tutur Pengasas Bersama dan Pengarah Kreatif ZCOVA, Low Ziyin.
Meskipun koleksi itu diinspirasikan daripada motif ketimuran, ia cukup versatil dan sesuai digayakan sepanjang tahun.
Koleksi ZCOVA x KHOON HOOI boleh didapati melalui prapesanan eksklusif dengan tempoh penghasilan maksimum selama dua bulan bagi setial pembelian.
Setiap barangan boleh diubah suai dengan pilihan emas kuning, putih dan emas mawar, termasuk batu perhiasan. Maklumat lanjut boleh layari www.zcova.com dan www.khoonhooi.com.